Mission News

Permohonan Undi Pos Luar Negara di Bawah Kategori 1B Bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15

14 February 2022 1 views
Adalah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang bermesyuarat pada 9 Februari 2022 (Rabu) telah menetapkan 12 Mac 2022 (Sabtu) sebagai Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15.
Dalam perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa kemudahan mengundi secara pos bagi warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara akan diberikan bagi maksud PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 dibawah Kategori 1B (Luar Negara). Tempoh permohonan undi pos 1B yang telah diwartakan oleh SPR adalah mulai 9 Februari 2022 (Rabu) sehingga 18 Februari 2022 (Jumaat).
Untuk makluman, syarat kelayakan bagi permohonan undi pos bagi Kategori 1B seperti berikut telah dimansuhkan :
1. Bermastautin di luar negara kecuali di Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia; dan
2. Pernah kembali ke Malaysia, selama tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh kekosongan yang dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi kerusi Dewan Undangan bagi Negeri Johor.
Justeru, bagi maksud PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 ini, semua warganegara Malaysia yang merupakan seorang pemilih berdaftar yang mengundi di mana-mana Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri di dalam negeri Johor dan bermastautin di luar negara adalah layak untuk memohon sebagai pengundi pos di bawah Kategori 1B (Luar Nagara). Walau bagaimanapun, kelulusan setiap permohonan ini masih tertakluk di bawah bidang kuasa Setiausaha SPR.
Bagi tujuan ini, setiap permohonan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di laman sesawang MySPR Daftar di pautan berikut https://myspr.spr.gov.my/login atau di portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my/. Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.
Share:
Link copied to clipboard
Back