Ketua Polis Kalimantan Barat (KAPOLDA), Brigedier Jeneral Sukrawardi Dahlan telah menghos satu majlis makan malam untuk Konsul Malaysia ke Pontianak yang baru, Encik Khairul Nazran Abd. Rahman pada 23 Mei 2011 bertempat di Hotel Aston, Pontianak. Seramai 41 orang pegawai tertinggi Kepolisian Kalimantan Barat turut hadir termasuk Timbalan Ketua Polis Kalimantan Barat, Komisaris Besar (KOMBES) Drs. Syafaruddin, Pengarah Pasukan Khas, KOMBES, Drs. Anthony MT Siahaan, Ketua-ketua Polis Daerah Kalimantan Barat serta Ketua-ketua Polis Perbatasan Sarawak-Kalimantan Barat.
Majlis makan malam ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara Kepolisian Kalimantan Barat dan Konsulat Malaysia di Pontianak. KAPOLDA merakamkan setinggi penghargaan kepada Konsulat Malaysia di Pontianak di atas kerjasama baik yang terjalin selama ini dalam menangani pelbagai cabaran seperti penyeludupan, pendatang tanpa izin dan jenayah. Beliau menambah cabaran ini selalunya berlaku di perbatasan dan berharap kawalan boleh diperketatkan oleh kedua-dua belah pihak di setiap pintu masuk Sarawak-Kalimantan Barat pada setiap masa. Dalam ucapan balas, Konsul Malaysia menyambut baik komitmen tinggi Polis Kalimantan Barat dalam menangani permasalahan yang disebutkan. Konsulat akan sentiasa bekerjasama dengan Polis Kalimantan Barat ke arah memastikan semua undang-undang yang berkuatkuasa dihormati dan dipatuhi.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa untuk kesejahteraan bersama. Majlis makan malam ini telah meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara Konsulat dan Kepolisian Kalimantan Barat, terutamanya dengan kehadiran semua Ketua Polis di Provinsi Kalimantan Barat.