Malawakil New Delhi telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha bertempat di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India pada hari Jumaat, 25 September 2015. Majlis Sambutan Hari Raya berkenaan telah dikoordinasikan oleh pegawai serta kakitangan Homebased Staff (HBS) Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan selamat datang diikuti oleh sembahyang sunat Aidiladha yang dipimpin oleh Saudara Adnan Aboo Bakar, Setiausaha Ketiga Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang kemudiannya menyampaikan khutbah Aidiladha yang disediakan oleh pihak JAKIM.
Seramai lebih kurang 70 orang tetamu yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang bekerja dan melawat New Delhi, sahabat Malaysia yang beragama Islam, pegawai/kakitangan homebased staff dan kakitangan ambilan tempatan Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang beragama Islam dan agensi-agensi Malaysia di New Delhi serta ahli keluarga masing-masing telah hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Majlis Sambutan Hari Raya tahun ini telah diadakan dalam suasana sederhana dan berjaya mencapai sebahagian daripada usaha memupuk dan memantapkan lagi imej kerajaan Malaysia di India dalam konteks mengeratkan tali persaudaraan sesama rakyat Malaysia yang hadir selain dari memberi peluang kepada semua warga Muslim Malaysia di New Delhi menunaikan Solat Sunat Aidiladha secara berjemaah. Pada masa yang sama program ini memberi peluang bagi para hadirin untuk berinteraksi dengan pegawai HBS Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan agensi-agensi Malaysia di New Delhi dan keluarga masing-masing.