Mission News

RAKYAT MALAYSIA DINASIHATKAN TANGGUH PERJALANAN KE TIMUR TENGAH TERMASUK UMRAH

06 March 2026 2 views

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Timur Tengah termasuk umrah

SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1). FOTO Bernama
SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1). FOTO Bernama

 

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara Timur Tengah termasuk yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, ia susulan peningkatan ketegangan konflik yang semakin memuncak di rantau berkenaan.

Menurutnya, nasihat perjalanan itu akan terus berkuat kuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak.

"Sehubungan itu, Wisma Putra memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan.

ADVERTISEMENT
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

"Pada masa yang sama, kementerian sedang bekerjasama dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan negara berkaitan serta syarikat penerbangan bagi mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

 
ADVERTISING
 

"Usaha evakuasi ini juga membabitkan rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan sama, rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan penyelarasan evakuasi.

"Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas sudah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.

"Rakyat Malaysia di negara-negara terjejas digesa supaya sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Wisma Putra akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia," katanya.

Share:
Link copied to clipboard
Back