Utusan Malaysia- 7 September, 2009
KUALA LUMPUR - Kehadiran Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan kakitangannya serta pelajar-pelajar yang menuntut di negara itu berjaya membantu skuad kebangsaan mengikat Jordan 0-0. Perlawanan yang diadakan di Stadium King Abdullah II di Amman itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan siri perlawanan persahabatan di Asia Barat dengan keputusan seri pertama.
Menurut jurulatih K. Rajagobal, kehadiran penyokong Malaysia itu yang membawa Jalur Gemilang memberi suntikan semangat buat pemainnya untuk mengekang asakan lawan.
"Pemain saya ternyata bersemangat dan tidak mengecewakan peminat yang hadir pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam)," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia semalam.
Keputusan seri itu sekali gus memadam dua kekalahan dalam perlawanan sebelum ini yang diadakan di Arab Saudi.
Dalam perlawanan persahabatan pertama, 31 Ogos lalu Malaysia yang dibarisi pemain bawah 23 tahun tewas 1-2 kepada Arab Saudi.
Manakala pada perlawanan kedua menentang kelab negara tersebut mereka tumpas 0-1.
Menurut Rajagobal, mereka akan pulang ke Malaysia hari ini untuk persiapan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang Lesotho di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras Jumaat ini.
Skuad negara dalam persiapan terakhir bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Laos yang akan berlangsung Disember ini.