— Nasihat Kedutaan berkaitan Kebajikan Pengunjung Malaysia —
Lanjutan daripada laporan Kedutaan bertarikh 10 Disember 2017, dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi pengunjung Malaysia berusia 83 tahun telah dimasukkan ke hospital atas sebab masalah kesihatan sejurus tiba di Amman dari Malaysia pada hari ini, 14 Disember 2017.
2. Sebagai usaha menjaga kebajikan pengunjung-pengunjung Malaysia, dengan hormatnya Kedutaan ingin menyampaikan nasihat berikut:
(i) Pengunjung adalah dinasihati untuk mendapatkan perlindungan insuran kesihatan sebelum memulakan perjalanan;
(ii) Pengunjung adalah dinasihati untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan memastikan bahawa kesihatan adalah dalam keadaan baik bagi membuat perjalanan jauh dan bagi menghadapi keadaan cuaca sejuk, berangin dan tidak menentu di Jordan dan kawasan sekitarnya; dan
(iii) Ingin ditegaskan bahawa ketua rombongan / ajen pelancongan perlulah bertanggungjawab, prihatin dan peka terhadap keperluan dan keselesaan ahli-ahli rombongan sepanjang perjalanan sebagai usaha mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
3. Kedutaan turut ingin menasihati bakal pengunjung supaya teliti dalam memilih ajen pelancongan yang akan menguruskan perjalanan ke Jordan atau Baitulmuqaddis. Ini adalah kerana Kedutaan mendapati terdapat agen pelancongan, termasuklah yang beroperasi di Jordan, yang tidak memberi kerjasama baik dalam menjaga kebajikan ahli-ahli rombongan Malaysia. Ini merupakan isu yang amat dikesali dan dipandang serius oleh Kedutaan. Salah satu agensi sedemikian yang dikenalpasti adalah Malhas Tours.
4. Justeru, dengan hormatnya Kedutaan ingin menasihati bakal pengunjung dari Malaysia supaya membuat pilihan dengan teliti dalam usaha memastikan segala urusan perjalanan berjalan dengan selamat dan lancar kelak.
Terima kasih.