MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM MERAIKAN DELEGASI MALAYSIA
Isnin, 6 Mei 2024: Sempena meraikan kehadiran pegawai-pegawai kerajaan Malaysia serta pegawai-pegawai Air Asia X Bhd yang berada di Nairobi untuk menghadiri pelbagai mesyuarat dan program promosi, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, TYT Ruzaimi Mohamad telah mengadakan jamuan makan malam di kediaman rasmi beliau.
Delegasi dari Kementerian Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, (KPKT) diketuai oleh YBhg Datuk Saidatu Akhma binti Hassan dan diiringi oleh dua pegawai berkunjung ke Nairobi untuk menghadiri mesyuarat anjuran United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat). Encik Tievantheran Batumalai pula adalah pegawai Malaysian Palm Oil Council (MPOC) yang berpangkalan di Johannesburg membuat lawatan kerja ke Nairobi untuk mempromosikan minyak sawit dan produk minyak sawit. Delegasi Air Asia X Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Benyamin Ismail berada di Nairobi bagi menemui beberapa pihak berkuasa yang berkaitan dengan industri penerbangan bagi merundingkan usaha syarikat tersebut memulakan penerbangan terus dari Malaysia ke Kenya.
Jamuan makan malam tersebut memberi peluang kepada mereka untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain dan bertukar-tukar maklumat serta pandangan terutamanya berkaitan hubungan dua hala serta perdagangan antara Malaysia dan Kenya.


