Lawatan Peribadi YBhg Tan Sri Ismail Omar, Mantan Ketua Polis Negara
Pada petang Khamis, 23 Mei 2019 Duta Besar Malaysia ke Kemboja, TYT Eldeen Husaini Mohd Hashim telah menerima Kunjungan Hormat oleh YBhg Tan Sri Ismail Omar, mantan Ketua Polis Negara serta beberapa orang sahabat beliau dari Malaysia. Mereka berkunjung ke Kemboja selama empat hari untuk menyampaikan sumbangan kepada orang-orang miskin yang memerlukan bantuan terutamanya di kampung-kampung di Kemboja bagi melaksanakan ibadah bersedekah yang digalakkan di bulan Ramadhan.
Sumbangan mereka dibuat di beberapa wilayah yang berlainan iaitu di wilayah Koh Kong, Kampong Cham/Tbong Khmom, Kampong Chhnang, Kandal dan Pursat. Antara sumbangan yang diberikan adalah wang zakat serta bungkusan barang-barang makanan seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain yang bernilai lebih kurang USD10 ataupun lebih kurang RM45.
Sebanyak 1,150 bungkusan makanan telah berjaya disumbangkan. Selain itu mereka juga memberikan wang kepada beberapa masjid bagi membiayai kos menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Untuk kanak-kanak pula, mereka menyumbangkan duit raya sebanyak 5000 riel atau lebih kurang RM5 setiap orang. Jumlah keseluruhan sumbangan yang mereka hulurkan adalah lebih kurang RM55,000.00.
Semoga amalan mulia mereka di bumi Kemboja menjadi contoh ikutan kepada orang–orang lain dan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

