PERMOHONAN UNDI POS BAGI PRU DUN MELAKA KE-15
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 20 November 2021 sebagai Hari Mengundi bagi PRU DUN Melaka ke-15. Tempoh permohonan undi pos yang telah diwartakan oleh pihak SPR adalah dari 20 Oktober - 1 November 2021. Permohonan undi pos boleh dilakukan dengan menggunakan Borang 1B: Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR (https://www.spr.gov.my/)
Pemohon bagi kategori ini juga adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang ditetapkan oleh SPR seperti berikut:
1. Bermastautin di luar negara kecuali di Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, dan Satun); Singapura, Brunei; dan Kalimantan, Indonesia; dan
2. Pernah kembali ke Malaysia, selama tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh kekosongan yang dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan.
Justeru, bagi maksud PRU DUN Melaka ke-15 ini, semua warganegara Malaysia yang merupakan seorang pemilih berdaftar yang mengundi di mana-mana Bahagian Pilihan Raya DUN di dalam Negeri Melaka dan bermastautin di luar negara adalah layak untuk memohon sepagai pengundi pos di bawah Kategori 1B (Luar Negara). Walau bagaimanapun, kelulusan setiap permohonan ini masih tertakluk di bawah bidang kuasa Setiausaha SPR.
Bagi tujuan ini, setiap permohonan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di laman sesawang MySPR Daftar di pautan berikut http://mysprdaftar.spr.gov.my/ atau di portal rasmi SPR di pautan http://www.spr.gov.my/ . Sebagai salah satu langkah ke arah penambahbaikan Pengurusan pilihan raya, permohonan undi pos akan dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian (online). Justeru, pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, boleh menghubungi Unit Pengurusan Undi Pos (UPUP) di talian +603-8892 7080/ upup@spr.gov.my

Kedutaan Besar Malaysia
Kuwait