Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran di Rumah Malaysia, Kediaman Rasmi TYT Ambassador Dato' Mohammad Ali Bin Selamat, Duta Besar Malaysia ke Kuwait hari ini, 31 Ogos 2019.
Majlis dimulakan dengan Upacara Menaikkan Jalur Gemilang dan Nyanyian Lagu Kebangsaan Negaraku disusuli dengan nyanyian lagu Malaysia Bersih dan Keranamu Malaysia. Majlis kemudian diteruskan di dalam Rumah Malaysia dengan Amanat daripada TYT Duta Besar, disusuli dengan sedikit sesi penerangan daripada Encik Rezal Chan daripada Rexpo Malaysia dan En Nizam Wahab daripada Education Malaysia Amman, Jordan mengenai peluang pendidikan di Malaysia. Tetamu kemudian bersarapan bersama dan turut dihiburkan dengan persembahan serta lagu-lagu bertemakan patriotisme dan kemerdekaan.
Selain itu, warga Malaysia di Kuwait, di mana jua mereka berada turut berkongsi kegembiraan dan kebanggaan mereka sebagai warga Malaysia melalui kiriman foto-foto mereka berlatarbelakangkan Kuwait dan bersama Jalur Gemilang, pastinya dengan menyemat Malaysia kemas di sanubari mereka.
Semoga hari ini terus dikenang. Salam Kemerdekaan dari Kuwait dan Sayangi Malaysiaku!
Kedutaan Besar Malaysia
Kuwait
31 Ogos 2019
Twitter : https://twitter.com/MYEmbKuwait…/status/1167694871605469185…


