KUCHING: Rakyat Sarawak tidak lagi perlu ke Wisma Putra di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan sebarang urusan luar negeri selepas sebuah pejabat Kementerian Luar ditubuhkan di negeri ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem berkata ketika ini pejabat berkenaan menumpang sementara di Tingkat 3, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, di sini.
Beliau berkata selain menubuhkan pejabat di Kuching, kementerian itu turut membuka pejabat di Kota Kinabalu, Sabah.
“Selepas mengambil kira kepentingan untuk pejabat ini dibuka di sini, kami akhirnya mengemukakan cadangan kepada kabinet untuk menubuhkan sekurang-kurang pejabat konsul yang memberi khidmat kaunselor kepada mereka yang perlukan perkhidmatan itu.
“Pejabat ini akan memberi khidmat nasihat seperti perkhidmatan-perkhidmatan lain diperlukan antaranya mengeluarkan surat sokongan daripada kementerian terhadap status warganegara, tanpa perlu pergi ke Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Program Seranta, Penerangan dan Diplomasi Awam anjuran kementeriannya dengan kerjasama kerajaan negeri di sebuah hotel ternama di sini.
Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata pejabat yang mula beroperasi 17 Oktober lalu dengan seorang pengarah iaitu Mohd Faizal Razali dan pegawai gred N27 ditempatkan di pejabat itu.
“Kami akan mempunyai pejabat yang lebih luas selepas Jabatan Meteorologi berpindah Januari depan, setelah itu barulah kami melakukan majlis perasmian pejabat,” tambahnya.
Beliau berkata orang ramai yang perlukan khidmat nasihat atau perkhidmatan berkaitan boleh berjumpa dengan pegawai bertanggungjawab semasa waktu pejabat.
Menurutnya penubuhan pejabat kaunselor itu merupakan langkah besar diambil kementerian untuk mendekati serta membantu rakyat Sarawak dan Sabah.
Source: Borneo Post