Mission News

Program 'Pemimpin Bersama Rakyat' di Kampung Krusen Mawang, Serian, Sarawak

14 June 2012 1 views

 Program ‘Pemimpin Bersama Rakyat’ di Rumah Panjang Kampung Krusen Mawang, Serian, Sarawak pada 9 Jun 2012


Y.B. Datuk Richard Riot Anak Jaem, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia telah menghadiri Program ‘Pemimpin Bersama Rakyat’ di Rumah Panjang Kampung Krusen Mawang, Serian, Sarawak pada 9 Jun lalu.

 

Kampung Krusen Mawang terletak di kawasan Parlimen Serian kira-kira 65 kilometer dari Bandaraya Kuching.

 

Program tersebut telah berlangsung dalam suasana meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penduduk setempat yang rata-ratanya berketurunan Bidayuh.

 

Matlamat utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pemimpin dengan rakyat di samping memberi peluang kepada Timbalan Menteri Luar Negeri untuk ‘turun padang’ dan menyelami rasa hati penduduk di kawasan tersebut.

 

Dalam amanat yang disampaikan semasa majlis, Datuk Richard Riot telah meminta agar para ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka berikutan meningkatnya kes-kes keldai dadah yang melibatkan remaja perempuan.

 

Ini termasuk mengambil tahu laman-laman sosial yang dilayari dan latar belakang individu yang menjalin hubungan dengan anak mereka. 

 

Beliau turut menyeru agar ibu bapa menerapkan budaya berwaspada dalam diri anak-anak agar menjadi lebih peka dan tidak mudah terjerat dengan sindiket jenayah antarabangsa.

 

Program telah disusuli dengan acara nyanyian dan persembahan termasuk tarian tradisional ‘langgi ramun’ oleh warga penduduk Kampung Krusen Mawang. Datuk Richard Riot sendiri turut mendendangkan beberapa buah lagu dengan ‘suara emas’ beliau dalam acara tersebut.

 

Disediakan oleh:

 

Pejabat Wilayah Sarawak

Kementerian Luar Negeri Malaysia

Share:
Link copied to clipboard
Back