Sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang ke 47, Kedutaan Besar Malaysia di The Hague telah mengadakan Sambutan Hari Keputeraan SPB Yang Di-Pertuan Agong pada hari Sabtu, 6 Jun 2009, bertempat di Bangunan MATRADE di Rotterdam. Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Keranamu Malaysia, diikuti dengan ucapan daripada YBhg. Dato’ Dr Fauziah Mohd Taib, Duta Besar Malaysia ke Belanda. Setelah itu, doa selamat dibacakan oleh staf Kedutaan dan seterusnya jamuan makanan diadakan. Suasana resepsi berlangsung dalam keadaan harmoni dan para hadirin adalah terdiri daripada rakyat Malaysia yang berada di Belanda.