Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di Christchurch pada hari Ahad, 20 November 2011 sempena lawatan khas ke benua Antartika. Pesawat khas yang membawa Seri Paduka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch kira-kira pukul 9.25 pagi waktu tempatan (4.45 pagi waktu Malaysia). Ketibaan Baginda telah disambut Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker dan isterinya Joanna Nicholls-Parker, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Tuan Yang Terutama Datuk Mazlan Muhammad dan pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand. Seri Paduka Yang Dipertuan Agong turut diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM) Tan Sri Salleh Mohd Nor dan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah sempena lawatan khas tersebut.
Antara program yang telah diatur oleh Kerajaan New Zealand termasuklah lawatan ke “Te Whatumanawa Maotitangao Rehua”, sebuah rumah adat Maori, di mana Baginda dan rombongan telah diberikan sambutan selamat datang oleh kaum Maori. Tuanku Mizan juga berpeluang untuk mengadakan pertemuan singkat dengan beberapa veteran perang dunia kedua yang pernah berkhidmat di Malaysia (Malaya) sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Peranginan Peppers Clearwater. Baginda turut diraikan oleh Menteri Inovasi dan Sains New Zealand, Dr. Wayne Mapp pada jamuan makan malam rasmi pada sebelah malamnya.
Tuanku Mizan berlepas ke Pangkalan Scott pada hari Isnin, 21 November 201 dan telah mengadakan lawatan ke beberapa tapak menarik di benua Antartika seperti Kem Induk Amerika Syarikat McMurdo (pusat bagi semua program dan uji kaji saintifik) dan Pangkalan Scott, iaitu sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zealand di Antartika. Semasa di Antartika, Tuanku Mizan telah mengunjungi Pusat Penyelidikan Ikan Switzerland yang membuat kajian mengenai kandungan darah dan sistem anti-beku darah pelbagai jenis sepsis ikan yang mendiami lautan dalam Antartika.
Rombongan juga telah mengadakan lawatan ke Pusat-Pusat Saintifik di Antartika dengan menaiki helikopter. Perjalanan yang mengambil masa selama 20 minit itu telah menyaksikan pemandangan glasier dan saujana mata memandang lautan salji yang memutih sebelum tiba di Cape Royds. Cape Royds ialah kawasan berbatu hitam mengadap McMurdo Sound yang menempatkan Pondon Shackleton, sebuah pondok yang dibina oleh Earnest Shackleton semasa ekspedisi beliau pada tahun 1901 hingga 1904. Seterusnya Tuanku Mizan dan rombongan turut dibawa melawat Glasier Barne, iaitu sebuah glasier setinggi 30 meter yang terletak di bahagian Timur Pergunungan Erebus dan juga menyaksikan penguin Emperor, sejenis penguin paling tinggi (kira-kira 1 meter) yang besar dalam spesies keluarga penguin. Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Scott's Hutt di Cape Evans, sebuah pondok yang dibina oleh Robert Falcon Scott ketika ekspedisi beliau pada tahun 1910 hingga 1913. Kedua-dua pondok berkenaan adalah destinasi bersejarah dan penting untuk semua saintis dan penyelidik di Antartika.
Tuanku Mizan dan rombongan, yang turut diiringi oleh Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson berangkat pulang ke Christchurch dengan pesawat Tentera Udara Amerika, Hercules C130 pada jam 11.30 pagi. Penerbangan selama lapan jam itu dilakukan oleh Mejar Paul Bernasconi dari Tentera Udara Amerika. Ketibaan di Lapangan Terbang Christchurch pada jam 7.30 malam disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Datuk Mazlan Muhammad serta pegawai kanan Pesuruhjaya Tinggi.