Y.B. Dato’ Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan telah mengetuai delegasi Malaysia untuk Misi Teknikal Ladang Hutan dan Kayu Kayan ke New Zealand dari 23 Julai hingga 31 Julai 2009. Misi tersebut bertujuan untuk mempelajari amalan pengurusan hutan mapan serta menggiatkan kerjasama perdagangan kayu-kayan dan komoditi antara Malaysia dan New Zealand. Beliau turut diiringi oleh isteri dan pegawai-pegawai kanan Kementerian.
Semasa di New Zealand, Y.B. Dato’ Hamzah Zainudin telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pertanian dan Perhutanan New Zealand. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggiatkan kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam bidang perusahaan perladangan dan komoditi khususnya amalan pengurusan hutan mapan. Y.B. Timbalan menteri turut mengadakan lawatan ke SCION (NZ Forest Research Institute) untuk meninjau aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan R&D dalam bidang biomaterial, tisu kultur dan kejuruteraan genetik. Y.B. Timbalan Menteri turut melawat Universiti Canterbury di Christchurch untuk melihat kemajuan proses Wood Gasifier yang digunakan dalam penghasilan gas daripada wood waste. Seterusnya Y.B. Timbalan Menteri telah mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Pemilik Hutan dan Industri Hutan, New Zealand Furniture Importers, dan Chandler Fraser Keating (CFK). Tempat-tempat lain yang turut dilawati adalah New Zealand Maori Arts and Crafts Institute di Rotorua, Bottle Lake Forest, Hikurangi Forest Farm di Gisborne.
Y.B. Timbalan Menteri juga berpeluang untuk bertemu dengan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di New Zealand serta mengadakan dialog dan pertukaran pendapat mengenai perkembangan terkini di tanahair khususnya penghayatan konsep 1 Malaysia seperti yang digagaskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Secara keseluruhannya, lawatan sulung Y.B. Dato’ Hamzah Zainudin ke New Zealand telah berjalan lancar dan mencapai matlamat untuk mencari peluang-peluang baru untuk kerjasama dalam bidang pengurusan perhutanan dan pembangunan sektor perladangan dan komoditi di Malaysia.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia
New Zealand
4 Ogos 2009