Pasukan Sorak Malaysia Dilancar Untuk Sukan Asia Doha
Daripada Zulhilmi Supaat
SORAK SORAIÂ? Datuk Azalina Othmad Said (tengah) bersama Duta Malaysia ke Qatar Datuk Ku Jaafar Ku Shaari (kanan) dan Wakil Sime Darby Engineering Kamal Omar pada majlis sumbangan jersi kepada Kumpulan Sorak Malaysia Doha di Sukan Asia. Sime Darby Engineering menderma sebanyak 200 helai jersi kepada pasukan sorak Malaysia.
Foto: Dusa Abas
DOHA, (Qatar), 19 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said telah melancarkan Pasukan Sorak Malaysia bagi meningkatkan semangat atlet negara pada Sukan Asia ke-15 di Doha dari 1 hingga 15 Dis ini.
Azalina berkata ketika kerajaan membelanjakan banyak wang sebagai persediaan atlet negara ke temasya sukan itu, namum atlet masih memerlukan seberapa banyak sokongan yang boleh, semasa bertanding di luar negara.
"Berdasarkan pengalaman di Sukan SEA 2005 di Manila dan Sukan Komanwel di Melbourne Mac lepas, para penyokong kadang-kadang boleh membantu meniupkan semangat juang atlet," katanya pada pelancaran pasukan sorak itu di Kelab Golf Doha di sini, Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Malaysia ke Qatar, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Dr Ramlan Aziz, chef-de-mission negara Datuk A. Sani Karim dan timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Dr M. Jegathesan.
Kira-kira 100 rakyat Malaysia di Qatar turut memeriahkan majlis itu dengan memakai baju-T "Harimau Malaya," sebagai tanda sokongan kepada rancangan penubuhan pasukan sorak Malaysia yang diilhamkan oleh Ku Jaafar.
Azalina mengingatkan anggota pasukan sorak negara supaya sampai di stadium pertandingan tepat pada waktunya kerana mereka yang lambat mungkin tidak dibenarkan masuk khususnya bagi jenis sukan popular seperti badminton dan seni mempertahankan diri.
Sementara itu, Ku Jaafar ketika ditemui kemudian, berkata pasukan sorak itu ditubuhkan pada Hari Kebangsaan semasa majlis menaikkan Jalur Gemilang di kompleks kedutaan Malaysia di negara ini.
Katanya warga Malaysia di sini yang hadir pada majlis itu bersetuju untuk menubuhkan pasukan sorak di samping mereka turut menawarkan program "homestay" kepada mereka yang tidak mendapat tempat tinggal semasa sukan itu.
Katanya program "homestay" itu mungkin bagi anggota keluarga atlet, pegawai persatuan atau rakyat Malaysia yang mengunjungi Doha semasa temasya sukan itu.
Ku Jaafar berkata sehingga ini kedutaan telah menghimpun kira-kira 200 warga Malaysia untuk menyertai pasukan sorak negara dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang permulaan sukan itu.
Pasukan sorak itu akan turut membawa kain rentang dan banting ke stadium.
"Majoriti syarikat Malaysia di sini telah berjanji untuk menderma baju-T dan kain rentang sementara MSN akan menyediakan Jalur Gemilang," katanya.
-- BERNAMA