Konsulat Jeneral Malaysia, Jeddah telah meraikan rombongan hakim dan urus setia Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Kebangsaan yang sedang dalam rangka lawatan ke Mesir dan Arab Saudi dengan mengadakan satu majlis Ceramah Perdana di perkarangan konsulat pada Jumaat, 22 Mei 2009.
Majlis dimulakan selepas solat maghrib berjemaah dengan bacaan Al-Quran oleh Dato Haji Shari Abdullah, Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1986. Sahibul Samahah Tan Sri Sheikh Ismail dalam ceramahnya menasihatkan warga konsulat dan masyarakat Malaysia yang berkhidmat di Jeddah agar mengambil peluang untuk memperkayakan diri dan keluarga dengan ilmu agama sebagai bekalan di kemudian hari. Beliau juga mengingatkan tentang cabaran hidup masa kini dan peri pentingnya menguatkan pegangan iman dan akidah terutama bagi generasi muda.
Rombongan seramai 35 orang tersebut diketuai oleh pegawai JAKIM, Tuan Haji Yusop bin Hassan melawat konsulat bagi mempereratkan silratulrahim dan beramah mesra dengan pegawai konsulat dan warga Malaysia di Jeddah. Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah semasa mengalu-alukan kedatangan rombongan tersebut juga menyatakan rancangan konsulat untuk mengadakan lebih banyak majlis ilmu sebegini dimasa akan datang.
Selepas solat Isyak berjemaah, para hadirin seramai hampir 200 orang itu telah dijamu dengan hidangan nasi Arab dan juadah Malaysia sambil beramah mesra dengan anggota-anggota rombongan termasuklah Dato Haji Hasan Azhari yang dikenali ramai melalui program tv membaca Al-Quran.
KONSULAT JENERAL
JEDDAH
23 MEI 2009