1 Mei 2026 - Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah dan Kelab Rakyat Malaysia Hijazi (KRMH) telah menganjurkan majlis "Ceramah Perdana: Perjalanan Haji Bagi Jemaah Wilayah Hijazi" yang diadakan di premis KJM Jeddah. Program ini telah menghimpunkan kira-kira 50 orang peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia di Jeddah, Mekah, Rabigh dan sekitarnya, dengan tujuan memberi pendedahan dan kefahaman yang lebih mendalam mengenai ibadah haji, khususnya dari segi rukun, wajib serta amalan-amalan penting sepanjang musim haji.
Majlis dimulakan dengan solat Asar berjemaah dan diikuti dengan perkongsian oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Zaharuddin. Selesai solat Maghrib berjemaah dan doa selamat, para peserta disajikan dengan pelbagai hidangan yang disediakan dan disumbangkan oleh orang ramai, sebelum majlis bersambung dengan perkongsian oleh Ustaz Muhammad Hud Al-Hashir. Para peserta turut berpeluang untuk mengajukan soalan serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada penceramah, sekaligus menjadikan sesi ini lebih interaktif dan bermanfaat.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam melaksanakan ibadah haji dengan lebih sempurna dan penuh keyakinan. Didoakan agar para tetamu Allah ini diberikan kesihatan yang baik sepanjang melaksanakan ibadah dan dikurniakan haji yang mabrur insyaAllah.