Pada 20 Februari 2026, Majlis Iftar Perdana 2026/1447H anjuran Kelab Rakyat Malaysia Hijazi (KRMH) dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah telah berlangsung di pekarangan KJM Jeddah. Majlis ini telah dihadiri oleh lebih 400 orang rakyat Malaysia yang bermastautin di Wilayah Barat Arab Saudi, termasuk dari Jeddah, Makkah, Taif dan Madinah. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bersama isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato' Hajah Burhah Mohammed.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, diikuti dengan ucapan oleh YM Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Konsul Jeneral Malaysia. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KRMH serta semua penyumbang dan penaja yang telah berganding bahu menjayakan penganjuran majlis ini. Sesi tazkirah Ramadan turut diadakan sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Pelbagai juadah telah disediakan untuk para tetamu, antaranya nasi tomato bersama ayam masak merah dan kari ikan, mi goreng, bihun sup, bubur lambuk, buah-buahan, serta minuman panas dan sejuk. Di samping itu, para tetamu turut menyumbangkan pelbagai hidangan secara potluck.
Semoga majlis sebegini dapat diteruskan bagi mengeratkan hubungan dan menyatukan rakyat Malaysia di Arab Saudi, khususnya di Wilayah Barat.