JEDDAH - Konsulat Jeneral Malaysia, Jeddah telah menganjurkan sebuah Majlis Ramah Mesra Rakyat Malaysia bersama YB Dato' Sri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke Jeddah pada 2-3 Oktober 2011. YB Menteri bersama 13 ahli-ahli delegasi yang merupakan pegawai-pegawai kanan KPT, UiTM, Nilai Universiti dan INTI Universiti telah sama-sama hadir untuk berinteraksi dan beramah mesra dengan seramai 150 rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar serta golongan profesional yang bermastautin di Jedah, Makkah dan Madinah. Majlis dimulai dengan bacaan doa dan seterusnya hidangan buffet ala-Malaysia dengan lauk-pauk seperti nasi minyak, ayam masak merah, rendang daging hitam, acar rampai, bee hoon ayam, mee kari udang, kuih-muih melayu dan lain-lain.
Majlis disusuli dengan ucapan aluan daripada Konsul Jeneral serta amanat daripada YB Menteri yang diakhiri dengan soal-jawab. Program diplomasi awam selama 2 jam tersebut telah jelas memanfaatkan semua terutamanya pelajar-pelajar yang dapat berinteraksi dengan YB Menteri dalam mengemukakan sebarang permasalahan dan mendapat penjelasan yang jitu dan bernas mengenai sektor pendidikan serta isu-isu yang dibangkit mengenai Negara tercinta, Malaysia.