26 September 2025 - Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Canseri. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran lebih 400 orang tetamu, majoritinya warga Malaysia yang menetap di Wilayah barat Arab Saudi.
Seiring dengan tema "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", Encik Roslan Sharif, Konsul Jeneral mengingatkan pentingnya memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam diri setiap warga Malaysia. Beliau menyeru supaya semua warga Malaysia sentiasa bersatu, saling menyokong antara satu sama lain, memelihara perpaduan dan keharmonian serta sentiasa menjaga nama baik Malaysia walau di mana jua kita berada.
Konsul Jeneral turut berkongsi maklumat mengenai sumbangan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Beliau juga menggunakan kesempatan ini dengan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Tayangan video Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan VM2026 turut dipertontonkan.
Pelbagai juadah makanan dan minuman Malaysia disajikan kepada tetamu, antaranya nasi minyak, nasi dagang, laksa, mi kari, bihun goreng, mi goreng mamak, sup tulang, roti canai, keropok lekor, cucur udang, aneka kuih-muih dan buah-buahan. PERWAKILAN Jeddah turut menyumbang makanan sebagai usaha menambah kepelbagaian sajian hidangan kepada tetamu.
Konsulat merakamkan penghargaan atas kehadiran tetamu dan sokongan semua pihak dalam memeriahkan majlis sambutan ini.









