Mission News

Malaysia pilihan pertama Arab Saudi

25 September 2008 1 views

Malaysia pilihan pertama Arab Saudi

 

Oleh Mahfar Ali dari Jeddah
bhnews@bharian.com.my

 

PERSATUAN Persahabatan Saudi Malaysia yang dilancarkan semalam, bertekad menjadikan Malaysia pilihan pertama rakyat dan kerajaan negara ini dalam mencari pelbagai peluang kerjasama, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Presidennya, A K Saeed, berkata sebagai negara Islam, kedua-dua negara mempunyai potensi memperluaskan kerjasama, apatah lagi Malaysia mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perdagangan dan Industri Jeddah, memberi contoh Arab Saudi membuat pelaburan yang besar dalam sektor pengeluaran makanan, terutama beras di Vietnam, sedangkan Malaysia juga mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Selain itu, 60,000 pelajar Arab Saudi kini menuntut di Amerika Syarikat dan Eropah. Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menggalakkan pelajar negara ini melanjutkan pelajaran di Malaysia,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, semalam.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di sini, Hidayat Abdul Hamid, berkata imbangan perdagangan antara kedua-dua negara pada masa ini masih memihak kepada Arab Saudi dengan Malaysia banyak mengimport produk petroleum.

“Kita harap persatuan ini dapat menggalakkan Saudi mengimport lebih banyak barang dari Malaysia, terutama produk makanan halal yang berpotensi memasuki pasaran negara ini,” katanya.

 

 

--Ihsan Berita Harian, 21 September 2008

Share:
Link copied to clipboard
Back