
1 Mac 2025 – Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah telah menubuhkan dan melancarkan Pasukan Pemantau Haji (PPH) bagi tahun 2025, khusus bagi memantau urusan jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H / 2025.
Penubuhan PPH 2025 ini didorong oleh kesedaran tentang pentingnya penyebaran maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat Malaysia terhadap peraturan dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa di Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.
PPH 2025 diketuai oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah dan dianggotai oleh pegawai-pegawai Wisma Putra dan Kementerian/Agensi Kerajaan yang bernaung di bawah KJM Jeddah.