Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah haji tahun ini supaya mendapatkan visa/permit haji yang sah sebelum memulakan perjalanan ke Arab Saudi.
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan tegas hanya individu yang memiliki visa/permit haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Makkah mulai 29 April 2025 bagi menunaikan ibadah haji. Mana-mana individu yang didapati berada di Makkah dan kawasan Mashair (Arafah, Muzdalifah, Mina) tanpa visa/permit haji yang sah akan ditahan dan dikenakan denda sehingga SAR20,000, diusir keluar dari Arab Saudi tanpa sempat menunaikan haji dan disenaraihitam dari memasuki Arab Saudi selama tempoh 10 tahun.
Manakala bagi mereka yang bersubahat dengan membawa masuk, memberi tempat tinggal atau melindungi mereka yang tidak memiliki visa/permit haji yang sah di Makkah dan Mashair, hukuman yang lebih berat bakal dikenakan iaitu denda sehingga SAR100,000, diusir pulang ke negara masing-masing dan disenaraihitam dari memasuki Arab Saudi untuk tempoh 10 tahun, dengan pengangkutan yang digunakan untuk membawa penumpang berkenaan akan disita.
Justeru, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sekali lagi menasihati semua rakyat Malaysia agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji sekiranya tidak memiliki visa/permit haji yang sah.
Konsulat Jeneral Malaysia tetap sedia membantu rakyat Malaysia di Arab Saudi. Namun, mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang negara ini perlu bersedia menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.
Sekiranya terdapat pihak-pihak yang menawarkan pakej haji selain pengelolaan Tabung Haji, Konsulat Jeneral Malaysia menyarankan supaya tuan/puan membuat semakan dengan pihak Tabung Haji terlebih dahulu.


