Mission News

PERINGATAN BERKENAAN PELAKSANAAN HAJI TAHUN 1447H/2026M

26 April 2026 1 views
Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah haji tahun ini supaya mendapatkan visa/permit haji yang sah sebelum memulakan perjalanan ke Arab Saudi.
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan tegas hanya individu yang memiliki visa/permit haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Mekah mulai 1 Zulkaedah sehingga 14 Zulhijjah 1447H bagi menunaikan ibadah haji.
Seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas, mana-mana individu yang didapati menunaikan atau cuba untuk menunaikan ibadah haji tanpa visa/permit haji yang sah akan dikenakan denda sehingga SAR20,000; diusir keluar dari Arab Saudi; dan disenaraihitam dari memasuki Arab Saudi untuk tempoh 10 tahun.
Manakala bagi mereka yang bersubahat dalam memudahcara pelaksanaan haji tanpa visa/permit haji yang sah akan dikenakan denda sehingga SAR100,000. Ini termasuklah mereka yang memohon visa ziarah untuk individu lain bagi tujuan menunaikan haji secara tidak sah; membawa atau cuba membawa mereka masuk ke Mekah bermula 1 Zulkaedah sehingga 14 Zulhijjah 1447H; dan memberi tempat tinggal atau melindungi mereka di Mekah pada tarikh tersebut, dengan pengangkutan yang digunakan untuk membawa penumpang berkenaan akan disita.
Justeru, KJM Jeddah sekali lagi menasihati semua rakyat Malaysia agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji sekiranya tidak memiliki visa/permit haji yang sah.
KJM Jeddah tetap sedia membantu rakyat Malaysia di Arab Saudi. Namun, mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang negara ini perlu bersedia menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.
Sekiranya terdapat pihak-pihak yang menawarkan pakej haji selain pengelolaan Tabung Haji (PJH), KJM Jeddah menyarankan supaya tuan/puan membuat semakan dengan pihak Tabung Haji terlebih dahulu.
Terima kasih.
KONSULAT JENERAL MALAYSIA JEDDAH
26 April 2026
Share:
Link copied to clipboard
Back