Sumber: Berita KJM
JEDDAH: Konsulat telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni AlMarhum Sultan Badlishah secara meriah walaupun sederhana bertempat di Jeddah Lane pada 7 Jun 2012. Majlis diadakan mulai jam 8.30 pagi -12.00 tengahari dihadiri oleh 100 orang yang terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Konsulat, Agensi-agensi Kerajaan dan GLC serta keluarga yang bermastautin di Jeddah iaitu dari MATRADE, Tourism, Tabung Haji dan MAS.
Sambutan di mulai dengan acara Membaca Doa Selamat seterusnya Nyanyian 'Negara Ku' yang diketuai oleh Konsul Jeneral, Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak. Konsul Jeneral seterusnya menyampai ucapan ringkas yang bertemakan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'. Beliau mengingatkan bahawa SPB YDP Agong adalah Ketua Negara dan lambang perpaduan rakyat serta menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada SPB serta Kerajaan yang memerintah. Beliau juga memetik titah SPB pada 2 Jun 2012 agar rakyat Malaysia bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri, yang pada akhirnya akan hanya mendatangkan musibah kepada semua. Titah baginda "Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau watan yang makmur sejahtera. Jadi, semua pilihan ini terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia”. Sehubungan ini, Konsul Jeneral mengajak semua rakyat Malaysia di Jeddah bersama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk menjaga dan mempertahankan Kedaulatan Negara. Seterusnya semua hadirin bersama-sama mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta kemakmuran dan keselamatan Malaysia.
Seterusnya, Konsul Jeneral bersama-sama Puan Aniza Khalid dan semua Ketua-ketua Agensi menyempurnakan acara pemotongan kek Hari Agong dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali yang dilaungkan bersama-sama oleh semua hadirin.Para hadirin kemudian menikmati sarapan pagi 'Nasi Lemak 1 Malaysia’ dan pelbagai kuih-muih. Bersempena Hari Agong tersebut, Kejohanan Bowling Tertutup Antara Agensi juga di adakan yang di sertai oleh hampir 50 peserta lelaki dan wanita dewasa dan kanak-kanak. Para peserta bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah-hadiah pertandingan tetapi juga pelbagai hadiah lain dalam acara `cabutan bertuah’ di samping pasukan agensi terbaik menerima `Piala Pusingan Juara Antara Agensi’ yang disumbangkan oleh Konsul Jeneral. Pasukan Konsulat Jeneral Malaysia yang diketuai oleh Konsul Jeneral telah dinobatkan sebagai Juara Pasukan Bowling Antara Agensi 2012. Tahniah dan mabrok kepada Pasukan Konsulat. 'Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku'…