Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang jatuh pada 6 Jun 2009 telah disambut dengan meriah oleh rakyat Malaysia di Jeddah. Satu Majlis sambutan rasmi telah diadakan di Konsulat Jeneral Malaysia di Al-Rihab, Jeddah pada malam Sabtu, 6 Jun 2009 bermula jam 8.30 malam dengan dihadiri oleh hampir 500 orang rakyat Malaysia yang bermastautin di sekitar Jeddah.
Jemputan khas sempena Sambutan Hari Keputeraan tahun ini adalah Angkasawan Negara Dato’ Dr.Sheikh Muszaphar Shukor yang telah membuat satu persembahan khas tentang pengalaman beliau di angkasa lepas.
Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan nyanyian beramai-ramai lagu “Negara Ku“ dan dua buah lagu patriotik yang di dahului oleh kumpulan koir Konsulat Jeneral Malaysia. Konsul Jeneral Malaysia dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan konsulat dan agensinya, serta persatuan-persatuan Malaysia, Kelab Malaysia Jeddah(KMJ) dan Malaysian Business Council(MBC) serta syarikat-syarikat dan orang perseorangan yang bekerjasama menjayakan majlis sambutan tersebut.
Pelbagai hidangan dan juadah Malaysia disajikan untuk hidangan para tetamu.
KONSULAT JENERAL MALAYSIA
JEDDAH
8 Jun 2009.