Mission News

Seri Paduka, PM doakan jemaah Malaysia dapat haji mabrur

16 December 2007 1 views

Seri Paduka, PM doakan jemaah Malaysia dapat haji mabrur

MEKAH 16 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah hari ini mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadat haji dalam keadaan yang sempurna, selesa dan selamat serta mendoakan mereka memperoleh haji mabrur.

Tuanku Mizan turut berpesan supaya para jemaah haji Malaysia menjaga kesihatan kerana ia lebih penting dalam memastikan ibadat haji mereka tidak terganggu.

“Beta juga ingin menasihati jemaah haji semua supaya bersabar dalam menghadapi segala ujian,” titah Seri Paduka pada Majlis Ramah Mesra Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong dengan jemaah haji Malaysia di Maktab 99, Hotel Sevilla Barakat di sini hari ini.

Seri Paduka berdua yang turut menunaikan haji pada tahun ini juga berharap agar semua jemaah haji Malaysia selamat dan sihat walafiat semasa di sini dan sehingga mereka pulang ke tanah air nanti.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengucapkan selamat mengerjakan ibadat wukuf kepada seluruh jemaah haji Malaysia di samping mendoakan agar mereka mendapat haji mabrur.

– Bernama
Share:
Link copied to clipboard
Back