Travel Advisory

NASIHAT PERJALANAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA UNTUK MEMASUKI NEGARA ARAB SAUDI

 

          Visa

1.      Visa yang sah dan bersesuaian perlu dipohon di Kedutaan Besar Arab Saudi sebelum memulakan perjalanan ke Arab Saudi.  Sila semak visa yang telah diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memulakan perjalanan berkenaan. 

 

2.      Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak menyalahgunakan Visa untuk tujuan selain daripada tujuan yang dibenarkan di dalam Visa yang diluluskan.

 

          Passport

3.      Rakyat Malaysia perlu membawa passport yang sah untuk memasuki Arab Saudi.  Adalah dinasihatkan agar tempoh pasport melebihi 6 bulan sebelum tarikh luput.

 

          Tempoh Iqamah, Permit Kerja dan Visa

4.      Bagi yang menetap atau bekerja di Arab Saudi, rakyat Malaysia bertanggungjawab memastikan tempoh iqamah, permit kerja dan visa menetap di Arab Saudi masih sah laku.  Kegagalan memperbaharui tempoh sah dokumen tersebut sebelum tarikh luput boleh menimbulkan masalah apabila berhadapan dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sebarang siasatan.

 

5.      Bagi rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Arab Saudi untuk tujuan bekerja, sila pastikan segala dokumen perjalanan yang ditetapkan oleh majikan adalah teratur.  Rakyat Malaysia juga bertanggungjawab untuk meneliti dan memahami kontrak-kontrak pekerjaan yang disediakan oleh majikan. Ini membolehkan mereka mendapatkan maklumat tentang hak-hak serta tanggungjawab sebelum memulakan pekerjaan di Arab Saudi.  Adalah diingatkan bahawa rakyat Malaysia terikat dengan segala terma dan syarat yang ditetapkan di dalam kontrak-kontrak perkhidmatan tersebut berdasarkan peraturan yang berkuatkuasa di Arab Saudi. 

 

6.      Rakyat Malaysia yang berhadapan dengan masalah perindustrian dengan majikan di Arab Saudi, dinasihatkan agar membuat laporan di Jabatan Buruh Arab Saudi (Di bawah Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial Arab Saudi) yang berhampiran dengan majikan.

 

          Tempoh Tinggal di Arab Saudi

7.      Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak menetap di Arab Saudi melebihi tempoh permit yang dibenarkan. Tindakan            undang-undang yang tegas termasuk ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi akan dikenakan sekiranya didapati menetap melebihi tempoh yang dibenarkan.

 

          Mematuhi Undang-Undang Arab Saudi

8.      Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak terlibat di dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang Arab Saudi atau membawa sebarang elemen yang terlarang di Arab Saudi.  Mereka juga bertanggungjawab mematuhi segala peraturan dan               undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di negara tersebut.  Selain itu, rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar memahami budaya hidup masyarakat Arab melalui bahan-bahan bacaan yang berkaitan.

 

          Keluar dari Arab Saudi

9.      Bagi rakyat Malaysia yang akan meninggalkan Arab Saudi sama ada secara final exit, selesai melakukan ziarah atau disebabkan faktor lain termasuk selesai melaksanakan ibadah haji dan umrah, sila pastikan segala liabiliti, tuntutan mahkamah, tanggungan cukai, hutang piutang dan sebagainya dengan mana-mana agensi Kerajaan atau swasta di Arab Saudi atau di negara-negara teluk (GCC) telah diselesaikan sepenuhnya. Kegagalan menyelesaikannya boleh menyebabkan rakyat Malaysia berhadapan masalah termasuk ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi daripada meninggalkan negara berkenaan tanpa sebarang notis.   Selain itu, rakyat Malaysia juga berkemungkinan berhadapan masalah untuk memasuki Arab Saudi untuk kali yang berikutnya sekiranya isu-isu tersebut belum diselesaikan.

 

          Pendaftaran Rakyat Malaysia

10.    Rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi adalah dinasihatkan supaya mendaftar keberadaan mereka melalui link https://ekonsular.kln.gov.my/en/.

 

 

Kedutaan Besar Malaysia

Riyadh

April 2022