Pada 2-6 Jun 2014, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengadakan lawatan kerja peringkat pegawai ke Khartoum, Sudan. Delegasi tersebut telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Abd. Rahman Ismail, Pengurus Besar Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Lawatan tersebut adalah bagi meninjau potensi pengimportan daging lembu dari Sudan dan pelaburan lanjut dalam ternakan lembu serta industri pemprosesan di Sudan. Semasa di Khartoum delegasi telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Dato’ Mohd Ashri Muda, Duta Besar Malaysia ke Sudan di Rumah Malaysia dan juga ke atas Minister of Animal Resources and Forestry Sudan.