Pada 16 Mei 2014, Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan telah menganjurkan Pertandingan Futsal 1Malaysia untuk rakyat Malaysia yang menetap di sini bertempat di Padang Futsal Kubri, Khartoum. Empat pasukan telah mengambil bahagian iaitu pasukan Kedutaan Malaysia, Petronas dan dua pasukan pelajar-pelajar Malaysia.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan di Khartoum tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh TYT Dato’ Mohd Ashri Muda, Duta Besar Malaysia ke Sudan yang antara lain menyatakan bahawa acara tersebut diadakan bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia serta memupuk budaya hidup yang sihat dengan bersukan. TYT Duta Besar juga telah mengingatkan perserta yang mengambil bahagian bahawa sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita perlu menjaga nama baik Malaysia di bumi Sudan.
Johan pertandingan Futsal 1 Malaysia kali ini adalah pasukan dari pelajar Malaysia dan pingat serta piala pertandingan telah disampaikan oleh TYT Duta Besar. Jamuan pagi iaitu hidangan nasi lemak juga telah disediakan pada hari itu.