Mission News

RAKYAT MALAYSIA DINASIHAT BERDAFTAR DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA

08 February 2011 1 views

Rakyat Malaysia dinasihat berdaftar di Kedutaan Besar Malaysia
 
KUALA LUMPUR 6 Feb. - Semua rakyat Malaysia di Mesir termasuk 133 penuntut dari Kedah yang sehingga kini tidak diketahui kedudukan mereka dinasihatkan supaya berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bagi memudahkan pergerakan mereka dikesan.
 
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, ia juga bagi membolehkan kerajaan melakukan usaha menyelamat sekiranya mereka ditimpa sebarang kemalangan.
 
"Kebiasaannya mereka yang sudah menetap lama di negara itu tidak memaklumkan status mereka kepada kedutaan kita. Ini menyukarkan kerajaan untuk mengesan mereka kerana kita tidak mempunyai maklumat mengenai mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Kohilan berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai status penuntut dan rakyat Malaysia di Mesir yang tidak diketahui kedudukan mereka sama ada sudah pulang ke Malaysia atau masih berada di negara itu.
 
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang mendakwa seramai 133 penuntut dari Kedah di Mesir tidak dapat dikesan.
 
Kohilan menambah, rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara juga perlu mendaftar dengan kedutaan Malaysia di negara berkenaan bagi tujuan keselamatan.
 
Sumber : Utusan Malaysia
Share:
Link copied to clipboard
Back