PEMAKLUMAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI TURKI
Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turki ingin mengulangi peringatan kepada para pelajar Malaysia di Turki agar sentiasa menyedari tujuan asal kedatangan ke Turki adalah untuk menimba dan menguasai ilmu melalui proses-proses pembelajaran di universiti dalam bidang pengkhususan masing-masing. Tanggungjawab besar untuk memperolehi kejayaan dalam pelajaran bagi memenuhi harapan ibu bapa dan keluarga hendaklah diberikan keutamaan.
Sehubungan itu, semua pelajar perlu fokus kepada bidang pengajian masing-masing dan tidak melibatkan diri secara langsung atau secara tidak langsung dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan tumpuan pembelajaran masing-masing. Ini termasuk aktiviti yang berbaur politik tempatan atau mengulas sebarang isu politik yang berlaku di Turki menerusi media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya yang boleh mengundang bahaya terhadap diri sendiri dan menjejaskan imej Negara.
Justeru, sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan pelajar-pelajar adalah dinasihatkan menghubungi pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) yang akan bertanggungjawab untuk menyalurkan kemusykilan tersebut kepada pihak Kedutaan bagi tindakan susulan yang sewajarnya.
Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turki
28 Julai 2016