Sebagai sebahagian daripada Program Mendampingi Rakyat Malaysia di Taiwan, satu majlis makan tengah hari dan ramah mesra bersama penuntut-penuntut dan rakyat Malaysia di Taiwan telah diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos 2014 bertempat di Pejabat Canseri, Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Taipei pada pukul 12.00 hingga 2.00 petang. Majlis bertujuan untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan di antara Malawakil Taipei dengan rakyat Malaysia di Taiwan.
Perjumpaan diadakan dalam suasana sederhana dengan jumlah jemputan dan kehadiran seramai 45 orang termasuk pegawai dan juga kakitangan Malawakil Taipei. Majlis juga turut dihadiri oleh Encik James Lau, Presiden Malaysian Chambers of Commerce in Taiwan, Encik Will Chen, Pengurus Besar Hotel Sheraton, Taipei dan juga Dr. Wilfred Lim yang kesemuanya merupakan rakyat Malaysia yang telah lama menetap di Taiwan.