Mission News

Majlis Jamuan Makan Tengahari Hujung Tahun 2010 Bersama Alumni MTCP Vietnam di Hanoi

29 December 2010 1 views

 

Pada 29 Disember 2010, Perwakilan Hanoi telah menganjurkan Majlis Jamuan Makan Tengahari Hujung Tahun 2010 bersama Alumni MTCP Vietnam di Hanoi Club, Hanoi bermula jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang. Majlis tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran Alumni MTCP Vietnam yang merupakan bekas peserta pelbagai kursus MTCP bagi tahun 2008, 2009 dan 2010 dan kini merupakan pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai agensi Kerajaan Vietnam. Majlis turut disertai oleh tetamu jemputan iaitu pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri Vietnam (MOFA), Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam (MPI) ('focal point' kepada MTCP), Vietnam Union of Friendship Organizations (VUFO) serta beberapa wakil syarikat Malaysia di Hanoi. Jumlah kehadiran pada majlis tersebut adalah seramai 63 orang, tidak termasuk pegawai dan kakitangan Perwakilan yang turut hadir.

Vietnam telah menyertai MTCP ini sejak 1991 dan berdasarkan statistik terkini sehingga 30 November 2010, Vietnam merupakan negara ketiga terbesar daripada  seratus empat puluh satu (141) negara senarai penerima MTCP ini, iaitu selepas Indonesia dan Myanmar. Sejumlah seribu satu ratus dan tujuh (1,107) orang peserta Vietnam telah berjaya mengikuti pelbagai kursus jangka pendek dan jangka panjang di bawah MTCP yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia. Daripada jumlah tersebut, seramai empat puluh sembilan (49) orang peserta telah mengikuti kursus-kursus MTCP bagi tahun 2010. Justeru itu, dengan mengambilkira hubungan baik dan kerjasama erat di antara Malaysia dan Vietnam, Perwakilan telah mengambil langkah pro-aktif dengan mengadakan aktiviti majlis jamuan ini sebagai kesinambungan untuk mengeratkan hubungan mesra Perwakilan dengan Alumni MTCP Vietnam. Di samping itu, Perwakilan mengambil kesempatan untuk memperkenalkan pegawai-pegawai Kerajaan Vietnam kepada wakil-wakil syarikat Malaysia di Hanoi. Secara tidak langsung juga, program seperti ini telah memberikan peluang untuk semua pihak untuk bertukar-tukar fikiran dan maklumat bagi memahami keperluan semasa, serta memberikan cadangan-cadangan untuk meningkatkan kualiti kursus-kursus yang ditawarkan.

 

 

 

Dalam majlis jamuan yang dihoskan oleh PYT Dato' Lim Kim Eng, Duta Besar Malaysia ke Vietnam, beliau telah menyentuh mengenai komitmen dan usaha-usaha berterusan Kerajaan Malaysia dalam menawarkan kursus-kursus yang strategik dan berkualiti kepada negara-negara peserta, terutamanya Vietnam,di dalam memenuhi tuntutan dan keperluan kemahiran semasa. Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir kerana pertemuan yang diadakan pada majlis ini merupakan salah satu platform penting untuk mendapatkan maklumbalas serta sokongan daripada bekas peserta MTCP khasnya dan pelbagai pihak kementerian dan agensi Vietnam, secara amnya. Beliau juga turut menyeru supaya semua bekas peserta MTCP akan terus bekerjasama dan meningkatkan jalinan perhubungan erat dengan Perwakilan, serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti melalui Alumni MTCP Vietnam.

 

 

 

Pada majlis tersebut juga, En. Vu Xuan Thuyen, Presiden Alumni MTCP Vietnam (yang juga merupakan peserta kursus MTCP 2001) telah dijemput untuk memberikan ucapan. Beliau pula telah merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan berterusan daripada Perwakilan dalam usaha mengeratkan hubungan kerjasama di kalangan semua bekas peserta MTCP. Menurut beliau,  kursus-kursus MTCP yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia amatlah berguna dan berfaedah kepada pegawai-pegawai Kerajaan Vietnam dan ianya telah banyak membantu di dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pembangunan kerjaya mereka masing-masing. Semua tetamu yang hadir turut mengambil kesempatan untuk berkenal-kenalan serta beramah-mesra antara satu sama lain.

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back