Perwakilan Hanoi telah mengadakan satu Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia ke-53 pada malam hari Selasa, 31 Ogos 2010 di Hotel Melia Hanoi. Sambutan Majlis Resepsi tersebut seperti biasa telah menerima sambutan yang mengalakkan daripada rakyat-rakyat Malaysia, komuniti tempatan, serta diplomatic corps dan komuniti antarabangsa di Vietnam, khususnya di Hanoi. Jumlah tetamu yang hadir adalah seramai 450 orang termasuk hampir 150 rakyat Malaysia. Tetamu-tetamu lain yang turut hadir termasuklah Duta-Duta Besar, ahli-ahli diplomatik dan komuniti antarabangsa, ahli-ahli sektor swasta Vietnam, wakil-wakil syarikat/pelabur Malaysia di Vietnam dan ahli-ahli media, dan lain-lain. Di samping itu, pegawai-pegawai kerajaan Vietnam yang pernah menyertai kursus-kursus latihan anjuran Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme) juga dijemput hadir. Penyertaan mereka selaku MTCP alumni di Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti yang bertujuan merapatkan hubungan mereka dengan Malaysia.
Tahun ini, Kerajaan Republik Sosialis Vietnam telah diwakili oleh TYT Dao Viet Trung, Timbalan Menteri Luar Vietnam selaku Tetamu Kehormat. Turut hadir adalah tetamu-tetamu lain daripada pihak Vietnam termasuk pegawai-pegawai kerajaan & ketenteraan, ahli-ahli Parti Komunis Vietnam (CPV), dan ahli-ahli Dewan Perundangan Vietnam (National Assembly).
Berdasarkan amalan tempatan, aturcara Majlis Resepsi telah dimulakan dengan mainan lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Vietnam, dan disusuli dengan ucapan tahniah daripada kedua-dua belah pihak. Ini diikuti dengan amalan tempatan iaitu semua Duta Besar ASEAN dijemput naik ke pentas untuk sesi bergambar bersama-sama dengan TYT Tetamu Kehormat.
Dalam ucapan PYT Duta Besar, beliau telah memaklumkan para hadirin bahawa selain daripada sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos, negara kita juga mengadakan sambutan Hari Malaysia (Malaysia Day) yang kali pertama diraikan pada tahun ini di Kota Kinabalu pada 16 September. Ini adalah selari dengan gagasan 1Malaysia. Para tetamu juga mengambil maklum mengenai tema Hari Kebangsaan iaitu “1 Malaysia Menjana Transformasi”. Ini merangkumi halatuju negara kita ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan Wawasan 2020, dan akan didorong berasaskan empat strategi perubahan iaitu “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015)”.
PYT Duta Besar juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Vietnam bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Vietnam ke-65 pada 2 September 2010 serta sambutan ulangtahun 1000 tahun Thang Long – Hanoi pada 10 Oktober 2010. Selaras dengan amalan tempatan, beliau mengakhiri ucapan dengan ‘toast’ kepada Presiden, Kerajaan dan rakyat Vietnam demi kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan mereka semua dan juga peningkatan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara.