MELBOURNE, 14 Jun (Bernama) -- Lebih 180 delegasi yang mewakili 130 syarikat akan mengambil bahagian dalam misi perdagangan negeri Victoria selama lima hari ke negara-negara Asean, mulai Isnin.
Rombongan berkenaan akan bermula di Kuala Lumpur, sebelum ke Singapura, Jakarta, Bangkok dan Yangoon.
Menteri Inovasi, Perkhidmatan dan Perniagaan Kecil Louise Asher serta Menteri Pertanian dan Makanan Peter Walsh akan mengetuai misi tersebut. Syarikat yang mengambil bahagian akan memberi tumpuan kepada makanan dan perniagaan pertanian, teknologi maklumat dan komunkasi, pendidikan, pelancongan serta perbandaran dan infrastruktur.
"Misi ke Asia Tenggara ini merupakan sebahagian daripada strategi penglibatan antarabangsa kerajaan Victoria yang menyokong sejumlah perniagaan untuk terlibat dalam pasaran luar negara bagi meningkatkan pelaburan dan perdagangan dua hala," kata Gonul Serbert, Pengarah Eksekutif Perdagangan Victoria.
Beliau berkata kerajaan Victoria berhasrat membina ekonomi negeri yang lebih produktif dan bersaing di peringkat antarabangsa. Konsul Jeneral Malaysia di sini Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya berkata misi yang kukuh berkenaan berkeupayaan menghasilkan perdagangan dua hala yang baik dan berpanjangan antara Victoria dan Malaysia.
Kunjungan perdagangan kali ini merupakan yang kedua ke Asia Tenggara setelah berjaya pada Jun lepas.
-- BERNAMA