MELBOURNE 27 Mei - Konsul Besar Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya menggesa agar kumpulan Malaysia yang telah tamat menjalani program latihan di Institut Holmesglen, di bawah naungan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC), untuk meningkatkan reputasi negara sebagai pengeluar produk berkualiti dalam industri perabot dan bangunan.
Beliau berkata, mereka seharusnya menyalurkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh semasa kursus tiga bulan itu untuk terus memajukan industri bangunan dan pembinaan Malaysia.
Ini akan membolehkan Malaysia mencapai Wawasan 2020 menjadi negara berpendapatan tinggi, kata beliau.
Konsul Besar itu berkata, latihan vokasional berada dalam senarai keutamaan kerajaan Malaysia dan berterima kasih kepada Holmesglen atas kerjasamanya dalam melatih belia Malaysia.
Dr .Rameez berucap demikian pada majlis di Institut Holmesglen Jumaat lepas semasa lapan rakyat Malaysia menerima sijil selepas menamatkan kursus intensif selama 12 minggu dalam perabot, bangunan dan pembinaan.
Sijil-sijil itu disampaikan oleh Pengarah Holmesglen International Centre, David Enden kepada Goh Tian Teck, Chung Dean Farn, Loong Kam Chuan, Rohaiza Abdul Kadir, Tan Siew Lian, Chang Wai Hoe, Paul Low Kung Ling dan Saidatul Nafisah Sahrin.
Mereka dipilih oleh MTC untuk menghadiri program latihan itu, kata Pengurus Holmesglen (Program Pelajar Antarabangsa), Krish Iyrapatham kepada Bernama.
"Latihan terdiri daripada arahan bilik darjah/bengkel dan lawatan ke tujuh tapak industri. Latihan turut membabitkan komponen praktikal termasuk reka bentuk dan pembinaan perabot oleh setiap peserta," tambah beliau.
— BERNAMA