Pada pagi Khamis, 8 Ogos 2013 bersamaan 1 Syawal 1434 Hijrah, Kedutaan Besar Malaysia (KBM) Brussels telah mengadakan Solat Sunat Aidilfitri di Dewan Serbaguna KBM. Majlis bermula seawal jam 9.30 pagi dengan alunan takbir beramai-ramai dan disempurnakan dengan Solat Sunat Aidil Fitri berjemaah yang disusuli dengan Khutbah Aidil Fitri.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran muslimin-muslimat Malaysia di perantauan serta warga kerja KBM dan diplomat dari Pejabat Kedutaan Brunei di Brussels. Pelbagai juadah istimewa Hari Raya telah dihidangkan secara pot-luck oleh pegawai HBS buat para tetamu yang hadir.
Dewan Serbaguna KBM turut dimeriahkan dengan perhiasan ketupat raya dan dendangan lagu-lagu raya yang mengimbau nostalgia beraya di kampung halaman. Seramai lebih daripada 70 orang rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak telah hadir memeriahkan lagi majlis.
Majlis resepsi Aidilfitri 2013 juga akan diadakan pada 14 September 2013 yang akan terbuka kepada semua rakyat Malaysia di Belgium dan Luxembourg bagi turut sama memeriahkan sambutan Aidilfitri di perantauan.