Mission News

PWM ANJUR MALAM GALA TAHUN BARU CINA

03 March 2008 1 views

PWM ANJUR MALAM GALA TAHUN BARU CINA

Bandar Seri Begawan, Ahad - Lebih 1,000 anggota Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) bersama keluarga mereka menghadiri dan meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada Majlis Makan Malam Gala Tahun Baru Cina 2008 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa di Berakas, malam tadi.

Majlis itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Mohd Yusof dan Pesuruhajaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Dato? Ku Jaafar Ku Shaari.

Acara dimulakan dengan persembahan tarian singa oleh Pasukan Tarian Singa Sekolah Menengah Chung Hwa diikuti ucapan alu-aluan oleh Timbalan Presiden PWM, Jackson Ting.

Dalam ucapannya beliau berkata PWM mempunyai matlamat untuk meningkatkan kerjasama dan kefahaman di kalangan masyarakat Malaysia di Brunei menerusi kegiatan rekreasi, riadah dan interaksi kebudayaan.

Di samping itu beliau menyarankan supaya anggota PWM sentiasa mematuhi undang-undang dan menghormati Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Beliau juga menegaskan supaya mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Brunei sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Negara ini yang memberikan sokongan dan peluang kepada mereka untuk menjalankan perniagaan di Brunei.

Pada majlis itu juga Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada seramai 352 pelajar.

Majlis diserikan dengan pelbagai hidangan masakan Tionghoa yang disediakan khas untuk majlis pada malam itu yang dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi undangan dan tempatan serta tarian berwarna-warni persembahan pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa.

 

Ihsan daripada Media Permata

Share:
Link copied to clipboard
Back