Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12 akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penamatan Proklamasi Darurat (Sarawak) dan pembubaran DUN Sarawak yang telah diisytiharkan pada 3 November 2021 (Rabu).
Tempoh permohonan undi pos yang telah diwartakan oleh pihak SPR adalah dari 8 November 2021 (Isnin) hingga 24 November 2021 (Rabu).
Untuk makluman, syarat kelayakan bagi pemohonan undi pos bagi Kategori 1B seperti berikut telah dimansuhkan.
1. Bermastautin di luar negara kecuali di Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, dan Satun); Singapura, Brunei; dan Kalimantan, Indonesia; dan
2. Pernah kembali ke Malaysia, selama tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh kekosongan yang dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi kerusi Dewan Undangan bagi Negeri Sarawak.
3. Justeru, bagi maksud PRU DUN Sarawak ke-12 ini, semua warganegara Malaysia yang merupakan seorang pemilih berdaftar yang mengundi di mana-mana Bahagian Pilihan Raya DUN di dalam Negeri Sarawak dan bermastautin di luar negara adalah layak untuk memohon sebagai pengundi pos di bawah Kategori 1B (Luar Negara). Walau bagaimanapun, kelulusan setiap permohonan ini masih tertakluk di bawah bidang kuasa Setiausaha SPR.
4. Bagi tujuan ini, setiap permohonan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di laman sesawang MySPR Daftar di pautan berikut http://mysprdaftar.spr.gov.my/ atau di portal rasmi SPR di pautan http://www.spr.gov.my/.
5. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, boleh menghubungi Unit Pengurusan Undi Pos (UPUP) di talian +603-8892 7080/ upup@spr.gov.my.