Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah mengadakan satu sidang media pada 10 April 2018 untuk mengumumkan tarikh-tarikh bagi maksud perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
2. Bagi melancarkan lagi kaedah penghantaran undi pos pada PRU-14 ini, SPR telah memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Berhad (PMB) sepenuhnya dalam urusan penghantaran sehala undi pos meliputi kategori Pengundi Pos yang layak dan Pengundi tidak Hadir (PTH).
3. Kertas undi pos bagi PTH dan Pengundi Pos akan diposkan oleh PMB dua (2) hari selepas tarikh penamaan calon. Pengundi pos dan PTH yang telah menanda kertas undi tersebut perlu menghantar semula ke pihak SPR melalui perkhidmatan kurier dan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Malaysia sebelum atau pada hari pengundian di Malaysia iaitu hari Rabu, 9 Mei 2018 sebelum pukul 5.00 petang.
4. Sampul surat (Sampul Keutamaan B) yang mengandungi alamat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Malaysia bagi penghantaran kertas undi tersebut akan disediakan oleh pihak PMB.
5. Kos penghantaran semula kertas undi tersebut ke Malaysia adalah menjadi tanggungjawab pengundi itu sendiri dan tidak ditanggung oleh SPR.
6. Warganegara Malaysia di luar negara boleh menghubungi talian +603-8892 0081 / 7018 / 7200 atau emel ke upup@spr.gov.my untuk sebarang pertanyaan.
Konsulat Jeneral Malaysia
NANNING
17 April 2018