Mission News

Mesej Oleh TYT Tan Sri Abdul Aziz Zainal Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sabtu, 5 Jun 2010.

05 June 2010 1 views

Kepada Semua Rakyat Malaysia di Perancis

 

Assalamualaikum dan salam Satu Malaysia,

 

Sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, izinkan saya melafazkan doa syukur kerana sekali lagi kita dapat menyambut saat dan hari yang bahagia ini dengan keadaan yang makmur, aman dan selamat.

 

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di Perancis di atas sambutan dan bantuan yang telah dihulurkan semasa ketibaan saya di Paris selaku Duta Besar Malaysia yang baru.

 

Saudara saudari yang dikasihi,

 

Berikutan krisis ekonomi yang telah melanda dunia sejak pertengahan tahun 2008, tahun 2010 memberi harapan baru kepada Malaysia. Sesungguhnya, pertumbuhan ekonomi pada suku tahun terakhir 2009 dan suku tahun pertama 2010 memberi indikasi awal bahawa Malaysia telah berjaya keluar dari belenggu kemelesetan ekonomi dan akan berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5% pada tahun ini. Bagi suku tahun pertama 2010, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi setinggi 10.1% berbanding dengan suku tahun sebelumnya. Ini merupakan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi sejak suku pertama tahun 2000. Pertumbuhan ini didahului dengan sektor luar di mana imbangan perdagangan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19.3%.

 

Di samping itu juga, Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang kesepuluh paling berdaya saing oleh ‘IMD World Competitiveness Yearbook 2010’. Ini merupakan lonjakan sebanyak lapan tangga di mana Malaysia pada tahun 2009 telah diletakkan di tangga yang ke lapan belas. Sebagai perbandingan, negara Jerman menduduki tangga ke enam belas dan Perancis pula menduduki tangga nombor dua puluh empat. Antara sebab mengapa Malaysia menunjukkan prestasi yang amat baik adalah kerana Indeks tersebut mengambil kira tahap keberhutanagn (indebtedness) sesebuah negara. Berbanding beberapa negara maju terutamanya di benua Eropah, tahap pendedahan ekonomi negara adalah dalam linkungan yang mudah terurus.

 

Prestasi dan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan ini adalah hasil daripada dasar-dasar ekonomi Kerajaan yang telah dilaksanakan dengan berkesan. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, pelbagai dasar seperti pakej-pakej rangsangan ekonomi, meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan perbankan, serta langkah-langkah merombak pentadbiran Kerajaan telah berjaya untuk memastikan negara dapat mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik dan kukuh serta semakin berdaya saing di dalam era globalisasi ini.

 

Sejak pelantikan YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri pada April 2009, beliau telah memperkenalkan konsep ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini kini telah digunapakai untuk menjenamakan Malaysia di persada dunia. Ia mencerminkan visi dan keinginan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilangan kaum, bangsa dan agama untuk terus teguh berdiri bersama dengan aman dan harmoni tanpa menghiraukan perbezaan. Sesungguhnya, kepelbagaian yang dimiliki Malaysia merupakan kekuatan dan kelebihan yang unggul, satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara lain.

 

 

Saudara-saudari sekalian,

 

Saya juga dengan besar hati ingin memaklumkan, bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis telah diberi nafas baru berikutan lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Perancis pada bulan Oktober 2009. Lawatan tersebut yang menyaksikan pertemuan antara YAB Perdana Menteri dan Presiden Sarkozy telah menjana hubungan dua hala yang kian bertambah baik dan akrab dengan terlaksananya kerjasama di pelbagai bidang. Di antara hasil kerjasama ini adalah pelepasan kapal selam Malaysia kedua, KD TUN ABDUL RAZAK, ke Malaysia pada bulan April yang lalu; dan persetujuan Kerajaan Perancis di atas permintaan hak pendaratan AirAsia di lapangan terbang Paris-Orly. Malaysia dan Perancis akan terus bekerjasama di dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, pengangkutan, pendidikan dan pelancongan.

 

Khusus dalam bidang pelaburan Malaysia sebagai sebuah negara yang giat membangun berhasrat untuk menarik seberapa ramai pelabur asing (FDI) yang berminat ke negara kita. Peluang yang sedia ada diketengahkan dan Malaysia semasa ini sudah mempunyai infrastruktur yang sesuai untuk menampung keperluan pelabur-pelabur seperti kemudahan perbankan, teknologi maklumat, pekerja mahir dan lain-lain.

 

Dalam bidang pendidikan pula, usaha untuk menempatkan negara sebagai pusat pendidikan serantau Asia sudahpun mendapat pengiktirafan antarabangsa. Justeru, potensi menubuhkan kerjasama di antara pusat pengajian tinggi Malaysia-Perancis adalah di antara agenda pendidikan negara yang mungkin direalisasikan.

 

Manakala sektor pelancongan pula, Malaysia sedang bergerak dengan rancaknya untuk mengadakan banyak produk-produk yang menarik bagi menggalakkan ramai lagi pelancong dari Perancis untuk mengunjungi Malaysia dengan harapan Malaysia akan menjadi destinasi terpilih di kalangan pelancong-pelancong Perancis.

 

 

Saudara-saudari yang dihormati

 

Sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis, saya yakin bahawa saudara saudari sekalian akan terus mengekalkan semangat 1Malaysia serta menjadi warganegara yang dicontohi. Setiap di antara kita, walau di mana sekalipun kita berada, akan memainkan peranan masing-masing dalam mengharumkan nama negara yang tercinta.

 

Kepada para pelajar Malaysia, saya ingin menyeru supaya saudara-saudari sekalian meneruskan ketekunan menunaikan tanggungjawab mencapai kecemerlangan di dalam bidang akademik masing-masing.

 

Akhir kata, saya menantikan perjumpaan di antara diri saya dengan rakyat Malaysia di Perancis di masa-masa akan datang. Sementara itu, kibarkan Jalur Gemilang dengan megah.

 

 

 

 

Sekian, terima kasih.

 

 

TYT Tan Sri Abdul Aziz Zainal

Duta Besar Malaysia ke Perancis

 

Share:
Link copied to clipboard
Back