Duta Besar Malaysia
ke Perancis
Surat daripada Duta Besar KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA
DI PERANCIS
1. Sempena tahun baru 2008, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan rasa penghargaan saya kepada seluruh rakyat Malaysia di Perancis yang telah menyumbangkan bantuan serta kerjasama mereka kepada Kedutaan Besar Malaysia di Paris bagi mengharumkan nama dan imej Malaysia di Perancis.
2. Tahun 2007 merupakan tahun yang amat istimewa dan bersejarah kerana Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-50 di samping menyambut ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.
3. Sempena tahun yang bersejarah ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Paris atau dengan kerjasama pihak Perancis, antara lainnya ialah:
(i) Persembahan kebudayaan Mak Yong, Menora dan Wayang Kulit di Maison des Culture du Monde pada bulan Mac;
(ii) Bazaar Amal Perwakilan pada bulan Mei;
(iii) Hari Keluarga sempena Hari Keputeraan DYMM SPB Yang diPertuan Agong pada bulan Jun;
(iv) Resepsi Hari Kemerdekaan pada bulan September;
(v) Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober; dan
(vi) Malam Kebudayaan dan Makanan Malaysia pada bulan November.
4. Selain daripada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan tersebut, pihak Kedutaan telah menerima sebanyak 86 lawatan rasmi sepanjang tahun 2007, termasuk 16 lawatan di peringkat Menteri. Kemuncak lawatan-lawatan ke Perancis tersebut ialah semasa lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri pada 22-25 Oktober 2007 serta lawatan Yang diPertua Dewan Negara pada 6-8 November 2007. Semasa lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri, beliau telah mengadakan jamuan makan malam dengan masyarakat Malaysia yang berada di Perancis.
5. Lawatan-lawatan ini mencerminkan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis adalah semakin dalam dan teguh. Bagi pihak Perancis pula, Presiden Senat iaitu Encik Christian Poncelet telah melawat Malaysia pada 18-20 Mac 2007, manakala Menteri Immigration, Integration , National Identity and Co-Development, Encik Brice Hortefeux telah mewakili Perancis semasa sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-50 di Putrajaya pada 31 Ogos 2007.
6. Sempena tahun 2008, adalah menjadi harapan saya agar hubungan dua hala ini terus berkembang dan bertambah kukuh di semua bidang, terutamanya di sektor pelancongan, hubungan antara masyarakat (people-to-people contact), serta kerjasama pendidikan, sains dan teknologi.
7. Sebagaimana tahun 2007, saya juga berhasrat untuk bersama-sama anda bagi meraikan Hari Keluarga sempena Ulangtahun Hari Keputeraan DYMM SPB Yang diPertuan Agong pada bulan Jun 2008 serta sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober 2008.
8. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah berkongsi pandangan dan komen mengenai tahap perkhidmatan kaunter di Kedutaan. Adalah menjadi harapan saya supaya kerjasama ini diteruskan bagi mempertingkatkan lagi kualiti, mutu perkhidmatan serta daya saing Kedutaan Besar Malaysia di Paris.
9. Semoga tahun 2008 menjadi tahun yang cemerlang untuk kita semua.
Sekian, terima kasih.
Dato? S. Thanarajasingam
11 Disember 2007