Mission News

TEKS UCAPAN TYT DUTA BESAR MALAYSIA KE PERANCIS DI MAJLIS PELANCARAN KOLEKSI TERJEMAHAN SASTERA MALAYSIA - 19 OKTOBER 2011

21 October 2011 1 views

  

 

 

TEKS UCAPAN

YBHG. TUAN YANG TERUTAMA TAN SRI ABDUL AZIZ ZAINAL

DUTA BESAR MALAYSIA

KE PERANCIS

DI MAJLIS PELANCARAN KOLEKSI TERJEMAHAN SASTERA MALAYSIA ITNM



19 OKTOBER 2011

  

TEKS UCAPAN YBHG. TUAN YANG TERUTAMA TAN SRI ABDUL AZIZ ZAINAL

DUTA BESAR MALAYSIA KE PERANCIS

DI MAJLIS PELANCARAN KOLEKSI TERJEMAHAN SASTERA MALAYSIA ITNM

 

Tarikh      : 19 Oktober 2011

Masa       : 5:00 petang

Tempat    : Librairie de l'Asie culturelle

  et religieuse, Paris

 

 

 

 

Terima kasih diucapkan kepada Juruacara Majlis.

 

Yang Berhormat Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh

Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia

 

Yang Berbahagia Encik Mohd Khair Ngadiron

Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia

 

Dif-dif jemputan

Tan Sri, Puan Sri, Dato’, Datin, rakan-rakan media dan semua hadirin yang saya hormati sekalian.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.  Bonsoir.

 

Alhamdulillah marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat bersama-sama berada di gedung buku ini pada petang yang tenang ini untuk bersama-sama menyaksikan Majlis Pelancaran Koleksi Terjemahan Sastera Malaysia Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia. Sebelum saya meneruskan lebih lanjut ucapan saya ini, saya ingin merakamkan rasa amat berbesar hati menerima jemputan daripada sebuah organisasi keilmuan yang jauh di tanah air untuk menyempurnakan pelancaran karya sastera berkualiti tinggi hasil nukilan Sasterawan Negara kita.  Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur.

 

Pada hari yang istimewa ini, negara kita Malaysia telah mencipta sejarah di bumi Perancis kerana inilah acara pertama yang dianjurkan oleh organisasi Malaysia yang berkaitan dengan perbukuan, keilmuan dan keintelektualan. Selain acara pendidikan yang sememangnya mendapat kerjasama penuh daripada Kedutaan Malaysia, rata-rata majlis yang pernah dianjurkan oleh organisasi dan syarikat dari Malaysia adalah yang berkaitan dengan ekonomi, budaya, politik, teknologi dan lain-lain. Bukanlah untuk menafikan kepentingan acara dalam bidang lain, tetapi saya sangat menghormati / menyanjung kehebatan bidang kesusasteraan di sini yang sangat tinggi prestijnya sejak berkurun lamanya sehinggalah kini.

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Martabat kesusasteraan di sini bukan sahaja pada ketinggian nilai hasil karyanya, malah sastera merupakan salah satu daripada identiti kebangsaan negara ini. Hal ini kerana rakyat Perancis merupakan bangsa yang celik ilmu dan sentiasa ghairah untuk berbicara atau berdebat hal ehwal yang berkaitan dengan bahasa dan penulisan. Semua ini merupakan kesan jangka masa lama sejak tiga abad yang lalu yang masih lagi berbekas sehingga kini. Hasilnya, saban tahun ada sahaja penulis atau sasterawan Perancis yang menerima pelbagai anugerah kesusasteraan antarabangsa. Malah sasterawan Perancis merupakan pemenang pertama Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1901, dan sehingga kini seramai 16 sasterawan Perancis telah menerima anugerah tersebut. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kemakmuran sastera Eropah majoritinya disumbangkan oleh rakyat negara ini. Pendek kata, jika seseorang dapat menghayati nilai sastera Perancis, itu merupakan kunci untuk memahami tatacara kehidupan orang Perancis.

 

Berdasarkan kenyataan inilah, saya sebagai rakyat Malaysia berasa kagum melihat betapa makmurnya nilai keintelektualan di sini. Disebabkan itulah, apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia berhajat untuk menyebarluaskan sastera Malaysia di sini, saya mengalu-alukannya malah “kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.” Lebih-lebih lagi saya dimaklumkan bahawa tiga buku awal yang akan dipasarkan di sini merupakan hasil karya tiga orang Sasterawan Negara, iaitu Keris Mas, Datuk (Dr.) A. Samad Said, dan Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang sangat diyakini mampu menarik minat khalayak pembaca di sini. Kita sebagai rakyat Malaysia tidak perlu skeptikal atau khuatir kepada maklum balas rakyat Perancis terhadap nilai kesusasteraan kita – kerana sebagaimana yang saya nyatakan sebentar tadi – rakyat Perancis merupakan bangsa yang sangat menyanjung tinggi ilmu, tidak kira apa-apa ilmu pun. Malah tempat di mana kita berhimpun pada petang ini merupakan cerminan keterbukaan bangsa Perancis terhadap karya luar khususnya dari Asia. Saya yakin dengan permulaan tiga karya awal ini akan mendorong lebih banyak karya Malaysia menembusi pasaran Perancis. Itu merupakan doa khusus saya kepada bidang ini dan saya bersama-sama seluruh warga Kedutaan Malaysia akan bersama-sama mengusahakan yang terbaik ke arah merealisasikan perencanaan tersebut.

 

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Saya melihat usaha yang dilakukan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia ini merupakan strategi pelaksanaan yang baik. Pertama, karya yang dibawa masuk ke sini diterbitkan dalam bahasa Perancis – bukannya dalam bahasa Inggeris. Hal ini kerana walaupun bangsa Perancis terbuka dalam mempelajari bahasa lain, tetapi mereka tetap mengagungkan bahasa kebangsaan mereka. Yang kedua, organisasi ini menerbitkan tiga karya sekali gus – bukannya satu – dan ini merupakan langkah bijak yang merupakan strategi long tail. Jika teori long tail yang diperkenalkan oleh Profesor Chris Anderson ini berjaya, satu daripada tiga karya ini akan mendorong penjualan dua buku lain yang kurang laris jualannya sama-sama meningkat laris seperti satu buku yang best seller itu. Lebih-lebih lagi kami di Kedutaan Malaysia amat menyedari betapa kurangnya karya Malaysia berada di pasaran buku Perancis – dan ini merupakan satu lagi peluang kita untuk memenuhi kelompangan itu. Strategi ketiga yang saya lihat merupakan langkah yang bijak adalah usaha sama yang dilakukan dengan penerbit Perancis, iaitu Les Indes savantes. Saya bagi pihak Kedutaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih dan tahniah kepada pihak Les Indes savantes yang sudi menjalinkan kerjasama dengan penerbit dari Malaysia.

 

Untuk menyemai kebitaraan kesusasteraan di sini tidaklah mustahil – asalkan kita punya azam dan kemahuan untuk membina asas pembinaan ke arah matlamat tersebut. Kami di sini bersama-sama agensi seperti MARTRADE dan Tourism Malaysia bersedia membantu dan menyediakan prasarana untuk pelaksanaan urusan tersebut. Oleh itu, diharapkan akan ada lebih banyak penerbitan karya berkualiti dapat diterjemahkan khususnya dalam bahasa Perancis supaya suatu hari nanti rakyat Perancis akan lebih mengenali Malaysia melalui nukilan sastera penulis Malaysia. Justeru, dengan lafaz Bismillahairrahmanirrahim, saya dengan besar hati dan penuh sukacitanya melancarkan buku La Jungle de l’espor karya Keris Mas, Pluie du matin karya A. Samad Said, dan Les Derniers Jours d’un artiste karya Anwar Ridhwan yang merupakan Koleksi Terjemahan Sastera Malaysia Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia.

 

Terima kasih.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back