Mission News

Ucapan Tahun Baru Kepada Semua Rakyat Malaysia Di Perancis

16 December 2010 1 views

UCAPAN TAHUN BARU KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA DI PERANCIS

 

 

Saudara dan Saudari,

 

Sempena tahun baru 2009, saya dan semua kakitangan di Kedutaan Besar Malaysia di Paris ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia di Perancis.

 

Saya juga ingin menyampaikan ribuan terima kasih di atas kerjasama serta sumbangan yang telah kami terima sepanjang tahun 2008. Sumbangan-sumbangan Tuan/Puan  telah banyak membantu Kedutaan Besar Malaysia di Perancis dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang telah mengharumkan dan meningkatkan imej Malaysia di Perancis.

 

Pada tahun 2008, kita telah menyaksikan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Antara aktiviti-aktiviti tersebut adalah:

 

i.              Hari Sukaneka pada bulan Mac;

ii.            Hari Keluarga sempena Hari Keputeraan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong pada bulan Jun;

iii.           Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober;

iv.           Resepsi Hari Kemerdekaan pada bulan Oktober di Marseille;

v.            Malam Kebudayaan dan Makanan Malaysia pada bulan November; dan

vi.           Lawatan-lawatan dari Perancis dan juga Malaysia sepanjang tahun 2008.

 

Seperti tahun-tahun sebelum, pada tahun 2009, Kedutaan Besar Malaysia di Paris sedang merancang pelbagai aktiviti termasuk Sambutan Hari Keputeraan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jun dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Oktober. Dalam menceriakan majlis-majlis tersebut saya ingin mengalukan kehadiran dan ingin berjumpa dengan Tuan/Puan.

 

Seperti yang kita sedia maklum, keadaan dunia kini amatlah meruncing dan penuh dengan ketidaktentuan akibat daripada krisis kewangan yang telahpun merebak ke serata pelusuk dunia. Oleh yang demikian, tahun 2009 akan merupakan tahun yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Diberikan senario global yang sedemikian, kami di Kedutaan Besar Perancis akan tetap berkhidmat dengan sebaik-baiknya dalam memastikan kepentingan negara dan rakyat Malaysia di Perancis terbela. Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan terus berusaha berkhidmat dengan penuh integriti serta mengembangkan jaringan perhubungan sahabat-sahabat Malaysia dan pasaran.

 

Dalam memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan Kedutaan Malaysia di Perancis, saya mengalu-alukan segala pandangan dan komen-komen bernas daripada Tuan/Puan. Pandangan dan komen perihal bagaimana Malaysia dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia-Perancis dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pelajaran dan sebagainya juga amatlah dialu-alukan. Saya ingin menekankan disini bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa terbuka kepada pandangan awam.

 

Akhir sekali, semoga tahun 2009 menjadi tahun yang cemerlang bagi kita semua.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 

DATO? S. THANARAJASINGAM

22 Disember 2008
Share:
Link copied to clipboard
Back