Kepada Semua Kakitangan Kedutaan Besar dan seluruh Rakyat Malaysia di Perancis
Assalamualaikum w.b.t dan salam Satu Malaysia,
Pertamanya, izinkan saya bagi pihak Kerajaan Malaysia mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-53 kepada seluruh rakyat Malaysia di Perancis. Sesungguhnya 31 Ogos merupakan hari yang istimewa sentiasa dalam ingatan dan seharusnya kita bersyukur kerana sekali lagi kita dapat meraikan Kemerdekaan dengan keadaan negara yang masih aman dan makmur. Saya juga ingin mengajak Tuan-Tuan dan Puan-Puan untuk bersama mengenang jasa pengorbanan mereka-mereka yang memperjuangkan Kemerdekaan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan
53 tahun tidaklah merupakan tempoh yang begitu lama sekiranya dibandingkan dengan Kemerdekaan negara-negara lain dan oleh itu Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang masih muda. Namun demikian, Malaysia selama tempoh itu telah pesat membangun daripada sebuah negara yang berlandaskan kepada pertanian dan perlombongan kepada sektor-sektor pembuatan, teknologi tinggi dan perkhidmatan yang memerlukan kepakaran serta kemahiran.
Seperti yang Tuan-Tuan dan Puan-Puan sedia maklum, tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah ‘1Malaysia Menjana Transformasi’. Dalam usaha memastikan negara dapat bersaing dan terus maju ke masa hadapan, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa langkah-langkah pembaharuan yang strategik selaras dengan aliran dunia yang semakin global. Dasar-dasar ini termasuklah konsep 1Malaysia, Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Kerajaan. Secara amnya, dasar-dasar ini yang berlandaskan semangat perpaduan dan ingin maju adalah bertujuan supaya Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum yang bersatu-padu, berdaya saing, berpengetahuan serta berkebolehan tinggi dalam melonjak negara ke arah mencapai aspirasi Wawasan 2020 menjadi sebuah negara yang maju.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Di atas kesempatan hari bersejarah ini, saya ingin menyeru kepada setiap kakitangan yang berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia Paris supaya menanamkan tekad serta azam untuk berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, dedikasi dan berhemah tinggi. InsyaAllah, dengan kesetiaan kita kepada tugas dan tanggungjawab, negara dan bangsa, serta berpandukan kepada nilai-nilai keagamaan sebagai teras utama, kita akan dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat, merdeka dan sejahtera,
Sekian, terima kasih.
TYT Tan Sri Abdul Aziz Zainal
Duta Besar Malaysia ke Perancis