Mission News

UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP) PAMER SENI PERTAHANAN DIRI DI PARIS - 8 MAC 2015

15 March 2015 1 views

 

 

Paris (Perancis), 8 Mac - Gabungan mahasiswa dan alumni UMP seramai tujuh orang mengharumkan nama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di pentas dunia apabila terpilih mewakili negara dalam mempamerkan aksi Seni Silat Gayong di Festival des Arts Martiaux (Festival Seni Beladiri) yang ke-30  di Le Palais des Congres baru-baru ini.

 

 Mereka dari Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia Universiti Malaysia Pahang (PSSGMUMP) atau dikenali dengan nama gelaran Gelanggang Naga Rantau terdiri daripada Muhammad Luqman Azmi, Mohd. Hilmihusaini Mohd. Sapari, Mohamad Zulpaka hashim, Nurwahira Mohd Yamin dan Siti Nur Amirah Alias manakala dua lagi dalam kalangan alumni UMP adalah Muhammad Nur Syaffiq Mahmood dan Mohammad Badrul Ishak Mustafa.

 

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pasukan UMP adalah satu-satunya pasukan yang mempersembahkan seni silat sebaris dengan pasukan para sami Shaolin dari China, Grandmaster Karate Okinawa dari Jepun, Pasukan Tae Kwan Do kebangsaan dari Korea Selatan, Grandmaster Akido dari Jepun, pakar Krav Maga dari Israel dan pakar Capoeira dari Brazil.

 

 

 "Gelanggang Naga Rantau terpilih mewakili Malaysia setelah tiga tahun mencuba untuk mendapat tempat bagi mempamerkan aksi dalam persembahan bertaraf dunia ini apatah lagi festival ini menggumpulkan barisan pengamal bela diri terbaik dunia. Persembahan kali ini mendapat sokongan oleh pihak Tourism Negeri Pahang dalam mengatur perjalanan di sana,"katanya yang hadir dalam Majlis Penyerahan Bendera oleh ketua pasukan, Zulfahmi Zulkifli baru-baru ini.  

 

 

 

Tambah beliau, persembahan ini  akan melonjakkan nama UMP dan menunjukan kemampuan pelajar universiti ini yang mampu bersaing membuat persembahan dengan pengamal seni bela dari luar. Sementara itu, penasihat PSSGM, Shaiful Hakim Mohamed Noor yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) berkata, persembahan ini dapat ditonton secara langsung di stesyen televisyen di Perancis dan di media sosial termasuk Youtube `Karate Bushido Official" beberapa bulan selepas persembahan serta mendapat liputan dalam Majalah Karate Bushido juga akhbar tempatan di sana.

 Bagi Zulfahmi, peserta sungguh teruja membuat persembahan dalam memperkenalkan seni silat Melayu di kota Paris dan sambutan sungguh menggalakkan. Pihaknya juga menghargai sokongan pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Tan Sri Ismail Omar yang banyak memberi kata-kata semangat agar pasukan mempersembahkan aksi terbaik  di pentas dunia di kota Paris ini. Begitu juga bantuan dari pihak Atase Jabatan Perkhidmatan Awam, Shahir Hamizan dalam mengurus segala kemudahan sewaktu berada di sana.

 

 

 

Katanya, peserta turut menjalani latihan dengan bersunguh-sungguh untuk membiasakan diri masing-masing di pentas persembahan dan segalanya berjalan dengan lancar serta tidak mengalami sebarang kecederaan yang besar memandangkan mereka juga bermain dengan senjata. 

Persembahan yang menjadi tumpuan adalah aksi Shaiful Hakim dengan parang dan perisai, Parang Gila yang dipentaskan oleh Hilmi dan Luqman dan Pentas Lembing persembahan oleh Syaffiq dan Badrul. Begitu juga dengan Kipas Cenderawasih oleh  Wahida dan Amirah serta Pentas Tekpi bagi satu lawan tiga. Selain membuat persembahan, pasukan berpeluang bertukar-tukar pandangan tentang seni budaya dengan peserta lain termasuk dari Uzbekistan, Russia dan lain-lain negara.

 Berita dan gambar disediakan oleh Mohd. Zaki bin Ahmad dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan suntingan oleh Bahagian Komunikasi Korporat PNC.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back