Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.
2. Untuk makluman Tuan/Puan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah membuat perubahan dasar dengan memansuhkan kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. Selaras dengan pemansuhan tersebut, SPR telah membuat pindaan kepada Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 iaitu dengan memotong Peraturan 2 (c) hingga (f) Peraturan tersebut. Pindaan ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 217 bertarikh 15 Ogos 2024 dan mula berkuat kuasa pada 20 Ogos 2024.
3. Melalui penguatkuasa pindaan tersebut, SPR akan mengemaskini kategori pemilih PTH Luar Negara kepada kategori pengundi biasa dalam daftar pemilih. Tindakan pengemaskinian adalah dengan meminda lokaliti PTH Luar Negara kepada lokaliti awam dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri yang sama. Dalam hal ini, SPR akan memaklumkan kepada semua pemilih yang terlibat melalui surat pemakluman rasmi.
4. Walaupun SPR telah memansuhkan Peraturan 2(c) hingga (f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 tersebut, mana-mana warganegara Malaysia yang berada di luar negara termasuklah penjawat awam dan pelajar sepenuh masa masih boleh mengundi sebagai pengundi pos berdasarkan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Pemohon boleh mengemukakan permohonan untuk mengundi secara pos bagi mana-mana pilihan raya umum atau kecil melalui portal MySPR. Bagi tujuan ini, pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos hendaklah mendaftar akaun MySPR melalui pautan https://myspr.spr.gov.my.
5. Bersama-sama ini disertakan salinan imbasan surat daripada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia kepada YBhg. Dato' Sri Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri bertarikh 23 Ogos 2024 berkenaan perkara di atas, untuk perhatian dan rujukan pihak Tuan/Puan jua.