KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
PEMANSUHAN KEPERLUAN MENGISI KAD PENGEMBARA UNTUK SEMUA PENGEMBARA MEMASUKI NEGARA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa berkuat kuasa Isnin, 1 Ogos 2022, semua pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri (feature) Kad Pengembara (Traveller’s Card) dalam aplikasi MySejahtera.
Kelonggaran ini diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap yang baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke Malaysia.
KKM akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia. Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu (thermal scanner) ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan.
Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lainlain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Sehubungan itu, semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi SOP ditetapkan dan dinasihatkan untuk pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.
KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan Malaysia
30 Julai 2022